Showing posts with label honeymoon. Show all posts
Showing posts with label honeymoon. Show all posts

2 Sept 2009

♥ Cuti² Di Krabi II

16 ♥ comments
Dear blog,

Assalamualaikum..


Sambungan cerita perjalanan saya ke Krabi..

10 Ogos 2009

Hari kedua di sana, awal paginya selesai subuh, bergegas ke tepi pantai untuk hirup udara nyaman & nak merakamkan sinar pagi yg indah di tepi pantai.. pukul 8, pulang ke bilik, bersiap² untuk aktiviti seterusnya. Saya bersiap dengan swimming suit di dalam, t-shirt & tracksuit di luar. Dan tudung untuk swimming yang seperti pro diver bak kata hubby. Hehe. Segan juga. Okey. Abaikan. Pukul 10 pagi kami perlu ke lobi, menanti kenderaan untuk mengambil kami ke jeti. Kami akan mengikuti island tour dengan speed boat yang akan membawa kami melawat ke pulau² di sana.


krabi
[nak pegi kat sini la.. best kan.. ]

Jam 10.30, kenderaan yang akan membawa kami pun sampai. Saya tak pasti apa panggilan untuk kenderaan ini, samada teksi atau trak, dan di sana mereka memanggilnya 'tut-tut'.. hehe..


[ dalam tut-tut yang menggerunkan.. hehe.. ]

Kami berdua sahaja pada awalnya, perjalanan menjadi singkat bila pemandunya memandu secara 'gila' - mungkin risau kami akan tertinggal bot.. kami singgah ke sebuah hotel lain untuk mengambil penumpang.. 4 orang pakcik warga Timur Tengah yang bisu.. & seorang translator perempuan muda yang.. erk.. abaikan. Kami semua akan ke Ao Nang Beach untuk menaiki speed boat yg sedang menanti..

Sampai di sana, beratus² orang menanti bot masing².. di sana kami dikumpulkan bersama² dengan ahli kumpulan tour kami, 20 orang kesemuanya.. kami menaiki speed boat yg agak besar juga & saya mengambil tempat betul² di belakang seat pemandu.. perjalanan akan mengambil masa 1 jam untuk ke pulau pertama, iaitu Bamboo Island.. setelah diberi sedikit penerangan oleh tour guide - Mat, seorang Muslim yang hanya tau menyebut 'abe' dan 'akak' bila memandang kami, perjalanan pun dimulakan.. cuaca cerah pagi itu membuatkan saya lega juga. Bot membelah laju lautan, dan hentaman² ombak dan badai mula menyebabkan bot kami terhuyung-hayang. Oh ye, kami tidak memakai life jacket pun. Life jacket hanya disimpan untuk aktiviti snorkeling nanti. Itu agak membimbangkan saya. Hehe.

Setengah jam awal, saya sudah mula terasa terseksa. Dahsyat juga menaiki bot laju di tengah lautan ini. Kebetulan ombak pada hari itu cukup tinggi, 2 meter tingginya! Ramai ahli kumpulan yang menjerit². Segala barangan di dalam bot tercampak ke sana ke mari. Saya hanya tersenyum sahaja [saya pada kebanyakan masa..hehe]. Walaupun sebenarnya dalam hati risau juga. Untuk mengelakkan saya tercampak ke belakang [hampir tercampak dah pun sebenarnya], saya berpaut pada besi driver seat di hadapan saya. Mujur kami tidak memilih tempat di hadapan bot yang lebih tinggi. Ada beberapa penumpang yang tidak tahan berada di hadapan, bertukar tempat berdepan dengan kami. Percikan air laut yang menerjah masuk bak hujan renyai. Mujur saya berlindung di belakang seat pemandu. Sayalah yang paling terselamat daripada lencun. Hehe.

Saya mencuri pandang pada boat speedometer di depan saya. 300km/h. Laju juga. Terkadang saya rasa seolah² sedang terbang di lautan. Bot yang melawan ombak, terbang tinggi dan tiba².. jatuh terjunam semula ke air.. dan semestinya semuanya menjerit! Langit yang tiba² gelap, menambahkan kerisauan saya. Risau juga, hujan ribut di tengah lautan, tanpa life jacket, semuanya tiba² menghantui di fikiran. Tapi macam biasa, saya masih tersenyum. Saya senyum pada hubby, saya lihat dia pun risau juga agaknya, tapi dia memang sentiasa cool.. [saya yang selalunya over-react..hehe] Dalam hati saya berdoa moga kami semua selamat tiba ke destinasi.

Bot diperlahankan, menandakan kami hampir sampai ke Bamboo Island. Pukulan ombak juga makin berkurang. Alhamdulillah, cuaca kembali terang dan ceria. Kami sampai di pulau dan dibenarkan untuk berada di situ selama 50 minit untuk aktiviti swimming dan snorkeling. Pantai di pulau ini cantik, pasirnya bersih dan airnya menghijau. Tiada facilities lain di sini kecuali tandas awam memandangkan ia adalah pulau terpencil di tengah² lautan.




[Bamboo Island]


[di mata saya sentiasa ada dia..hee]

Cukup masa, kami bergegas ke bot. Perjalanan diteruskan. Kami sepatutnya dijadualkan untuk ke Maya Bay, di mana pulau dan pantainya adalah yang tercantik di situ, tetapi oleh kerana ombak ya ng besar dan air pasang yang agak tinggi pada hari itu, kami tidak digalakkan untuk ke sana. Rasa hampa juga, kerana di situlah tempat yang paling indah untuk dirakamkan mengikut tinjauan kami. Mungkin lain kali sahaja. Kami di bawa ke Phi Phi Don dan Phi Phi Lea, yang merupakan sebahagian daripada pulau yang terdapat di kawasan Phi Phi Island. Di sinilah letaknya lokasi filem The Beach - lakonan Leonardo DiCaprio.. [di situ letaknya juga puncak di mana DiCaprio terjun ke dalam air..] memang subhanallah, indah sungguh ciptaan Allah di situ..










[ breathtaking cliffs surrounding the bay like a fortress.. ]

Kami dibenarkan untuk snorkeling di sini, selama setengah jam.. airnya yg tersangatlah jernih & biru memang membuatkan saya geram nak berjalan di dasar, tapi tidak dibenarkan kerana terdapat banyak landak laut di bawah.. ke dalaman air adalah lebih kurang 4-5 meter.. saya dah jatuh hati dengan tempat ni.. susah nak digambarkan keindahannya dengan kata², Maha Suci Allah yang menciptakan.. pasti lepas ni saya nak singgah lagi ke sini, insyaAllah..

Selasai di sini, kami bergerak untuk ke Phi Phi Island Down Town.. dalam perjalanan keluar dari Phi Phi Lea, kami singgah sebentar di Viking Cave.. di sini letaknya gua tempat kaum purba yang menetap di situ suatu masa dahulu.. gua ini mendapat nama [Viking] daripada penemuan lukisan kapal Viking lama yang terukir di dindingnya.. tiada pantai di sekitarnya, gua tempat menginap terus bertemu dengan lautan.. kini gua ini dijadikan tempat pengutipan sarang burung layang² yang terkenal..




[ Viking Cave ]

Kami meneruskan perjalanan ke Phi Phi Island.. ombak tidak terlalu besar, maka perjalanan agak aman berbanding sebelumnya.. Phi Phi Island pada 3 tahun yang lalu pernah digemparkan dengan kemusnahan akibat tsunami, kini telah pulih sepenuhnya, saya rasa. Kami tiba dan terus ke restoran untuk makan tengahari. Masakan di sini sama seperti masakan di Malaysia, cuma nasinya lebih wangi, lauknya ala² Chinese food / vegetarian dan yang pasti tom yam goong nya memang power.. hehe. Mujur juga kami di dalam mode musafir, jadinya kami akan jamak taakhir bila sampai di hotel nanti.




[di sepanjang pantai di Phi Phi Island..]

Phi Phi Island ibarat sebuah pekan yang memanjang, di mana di kedua² belahnya adalah pantai.. kebanyakan penduduknya merupakan nelayan Muslim dan sebahagiannya juga menjalankan perniagaan untuk pelancongan.. terdapat banyak kedai² di sepanjang pulau, dan ramai pelancong² yang datang serta yang sememangnya terus menginap di hotel di situ. Bagaimana pun saya tidak sempat untuk menjelajah ke seluruh pulau memandangkan masa tidak mengizinkan..


[ gambaran Phi Phi Island dari atas.. credits to www.hotelthailand.com ]

Tepat jam 2.00, kami bersiap untuk menaiki bot. Kami meninggalkan Phi Phi Island, terus ke Phi Phi Lea semula untuk aktiviti snorkeling dan beramah mesra dengan monyet² pulau.. hehe. Kami dibenarkan untuk memberi makan kepada monyet² yang menanti kami di atas pokok di tepi tebing, tetapi dengan pengawasan beberapa orang tour guide. Seterusnya kami dibenarkan untuk snorkeling selama 40 minit di situ. Air yang jernih bak kristal memecahkan segala rahsia lautan..


[ pandangan dari atas bot.. jernih betul.. ]




[ ikan² yang optimis ]

Selesai aktiviti snorkeling, kami dijamu dengan buah²an segar - nenas dan tembikai yang manis² belaka di atas bot. Seterusnya, kami meneruskan perjalanan pulang ke Ao Nang Beach semula selama 1 jam.. maka berakhirlah aktiviti boat tour kami.. Perjalanan pulang kami tidak banyak bezanya dengan perjalanan pergi, bot kami melambung² dan terbang di lautan. Tapi kali ini saya rasa sudah 'terbiasa' dan tidak risau lagi. Mungkin kepenatan, barangkali. Akhirnya kami selamat sampai pada jam 4.00 petang.. alhamdulillah.. badan bagai dipukul rasanya, akibat hentakan kuat di dalam perjalanan. Ramai juga yang kuyup dalam perjalanan pulang.. Tetapi semua itu pengalaman. Pengalaman indah buat kami. Kami tiba di hotel hampir pukul 5.00 petang dan tiba masanya untuk berehat..

Bersambung.. lagi..






15 Aug 2009

♥ Cuti² di Krabi I

7 ♥ comments
Dear blog,

Assalamualaikum..

Setelah entah berapa ratus atau ribu kali saya berfikir, saya memutuskan untuk pergi. Cuti pun dah diambil 1 bulan yg lepas. Segala²nya dah dirancang 2 bulan awal, selepas kami pulang dari Gemia. Benar, sokongan dari kawan² turut menguatkan semangat saya untuk teruskan perjalanan ini. Walaupun di kalangan ahli keluarga ada yang tidak bersetuju, apa pun semua keputusan adalah di tangan hubby juga. Kami nekad untuk pergi juga, kerana segala kos [penginapan & perjalanan] telah dibayar & dengan tawakkal serta doa kami ke sana. Sebelum pergi, awal² lagi saya ingatkan diri, saya ke sana bukan untuk membeli-belah, dan seboleh²nya elakkan tempat yang sesak dgn orang ramai. Faktor² semasa membuatkan saya merasa tidak terlalu gembira untuk ke sana. Risau semestinya. Ancaman H1N1 dan juga berita kapal terbang dari Krabi yang kemalangan terlanggar menara kawalan semasa mendarat di Koh Samui Airport, yang menyebabkan juruterbangnya terkorban membuatkan saya agak risau. Apapun, alhamdulillah kami selamat sampai & selamat pulang & kini kami dalam keadaan berjaga² sebelum dapat pastikan yang kami benar² sihat.. insyaAllah..

9 Ogos 2009




Setelah subuh, kami bersiap² dan berkemas untuk bertolak. Selesai bersarapan, jam 10 pagi, baba & mama menghantar kami ke LCCT. Baba berpesan untuk sentiasa membaca ayatul Kursi sepanjang di sana. Penerbangan kami ke Krabi adalah pada pukul 12.50 tengah hari, jadi kami menunggu di Departure Hall lebih kurang 1 jam dan tepat jam 12.30 tgh hari kami dibenarkan on board. Alhamdulillah penerbangan berjalan dengan lancar dan tidak begitu ramai penumpang ke Krabi. Perjalanan mengambil masa 1 jam, kami tiba di Krabi Airport pada pukul 2.00 petang waktu Krabi [3.00 petang waktu Malaysia]. Dari airport kami ke Sheraton Krabi Beach Resort dengan menaiki teksi. Jauh juga jarak hotel dengan pekan Krabi, lebih kurang 30 km jarak perjalanan.

Sepanjang perjalanan, saya dapati tiada beza pun di antara kehidupan di Krabi dan kehidupan di Malaysia. Krabi boleh dikategorikan sebagai pekan, di mana kebanyakan tempat adalah kawasan kampung, hutan² dan ladang² getah. Kebanyakan kawasannya adalah berbukit. Tidak banyak bezanya dengan kita. Saya teringatkan pekan Kulim. Hampir sama. Rumah² kampung, pokok² bunga di laman cukup menjelaskan yang kita adalah serumpun. Saya sebenarnya tidak pernah mengetahui tentang pekan Krabi ini, tetapi melalui carian di internet, saya rasa yakin untuk ke sana. Menurut legenda, perkataan Krabi bermaksud 'pedang', dan difahamkan pedang turun-temurun tersebut masih disimpan di dalam salah sebuah gua yang dijaga dan dikawal oleh pihak pemerintah.

Legenda kedua pula mengatakan Krabi adalah berasal daripada nama pokok buah tempatan iaitu "Lumphi". Bagaimana pun peniaga² Melayu dan Cina yang datang berniaga telah tersilap menyebutnya [mispronunciation] menjadi "Ka-lu-bi" atau "Kho-lo-bi" yang akhirnya menjadi "Krabi". Terletak lebih kurang 814 km daripada Bandaraya Bangkok, Krabi sebenarnya adalah salah satu tempat tarikan pelancong yang terkenal di Selatan Thailand. Di sempadan sebelah barat Krabi adalah Laut Andaman, di sebelah sempadan utara adalah Daerah Surat Thani & Phang-nga, sempadan selatan adalah Daerah Trang & Laut Andaman manakala di sebelah utara adalah daerah Nakhon Si Thammarat & Trang. Separuh daripada penduduknya adalah Muslim, maka untuk mencari makanan yang halal di sini adalah agak mudah.


[gambar Krabi dari satelit]

Rata² penduduk di sini bekerja sebagai petani, dan kebanyakannya memiliki perniagaan khusus untuk pelancongan dan saya yakin, pekan ini hidup dengan adanya pelancongan. Kebergantungan kepada industri pelancongan yang tinggi membuatkan mereka begitu hormat dan amat mengalu²kan pelancong dari luar [their hospitality is awesome!].. Cuma masalah yang agak ketara di sana ialah halangan bahasa. Oleh kerana Thailand mempunyai huruf tersendiri untuk menulis [Thai font], ini menyukarkan kami kerana kebanyakan papan tanda ditulis di dalam bahasa rasmi Thai. Kebanyakan penduduk juga tidak boleh berbahasa Inggeris menyukarkan lagi komunikasi kami. Ada juga beberapa orang yang boleh bercakap di dalam Bahasa Malaysia, walaupun tidak lancar dan lemah. Apa pun, saya rasa saya mula menyukai Krabi kerana suasananya tidak jauh beza dengan Malaysia.

Lebih kurang pukul 3 petang kami tiba di hotel, kami disambut dengan mesra & ada di antara mereka yang teruja melihat kami adalah Muslim [sebenarnya apabila melihat saya yang bertudung]. Ucapan salam didahulukan dan mereka berbangga untuk menyatakan mereka juga Muslim. Kami disambut dengan air serai ais yang rasanya sedap juga & menyegarkan. Untuk ke bilik, kami perlu menaiki buggy dan kami dihantar oleh seorang pekerja di Concierge Service yang comel & mesra, bernama Ms. Tiyarap. Bilik kami mengadap ke laut, tetapi oleh kerana taman yang agak besar merentangi di antara bilik dan pantai, pemandangan adalah terhalang oleh pokok² pain dan kelapa yang ditanam di tepi² taman sepanjang pantai. Alhamdulillah bilik kami luas & selesa, dan yang saya suka ialah perkhidmatan housekeeping nya adalah 2 kali sehari. Bilik kami sentiasa dipastikan bersih & kemas, air mineral & ais sentiasa tersedia secukupnya. Kami berehat & menantikan Asar pada petang itu.

[jalan².... dan... sampai!]


[view dari balcony]


[bilik yg santai..]

Selesai Asar, kami bersiap untuk bersiar² di sekitar kawasan hotel yg luasnya 16 hektar tanah lanskap.. luas betul. Sepanjang 1.8 km hotel ini berada di pesisir Pantai Klong Muong. Terdapat 2 beach-front pools dan beberapa hammocks. Facilities di sini memang serba lengkap & kemudahan internet adalah percuma di lobi. Pokok bunga yang banyak di tanam di sekitar kawasan resort ini ialah white lily. Nasib baik bukan calla lily, kalau tak, memang habis dikerjakan oleh saya.. hehe. Terasa segar berada di dalam taman sambil mendengar alunan hempasan ombak. Angin petang itu cukup kuat, menderu² tanpa henti. Tiada siapa berani turun ke pantai untuk mandi-manda kerana bendera amaran berwarna merah telah dinaikkan. Bendera merah menandakan laut bergelora dan ombak besar serta berbahaya untuk sebarang aktiviti di dalam air. Kami hanya dibenarkan untuk mandi laut sekiranya bendera kuning dan hijau dipasang di tepi taman menuju ke pantai. Angin yang cukup kuat menyebabkan kami berhati² semasa menggunakan tripod untuk bergambar. Rasanya kekuatan angin di situ mampu menolak kamera + tripod seberat 2 kg lebih itu. Menakutkan.


[luasnya taman ni..]


[Klong Muang Beach berdepan hotel]


[salah 1 poolside]


[kat tgh² taman ni ade Mandara Spa..]

[sunset + trademark kami.. hehe]


[facebooking!]

Azan maghrib berkumandang, sebelum itu kedengaran bacaan ayat² suci Al-Quran dari masjid yang berdekatan. Maghrib di sana adalah pada pukul 6.30 petang. Hari mulai gelap, kami kemas segala peralatan menuju ke resort semula. Masa untuk kami makan malam. Singgah di Mangosteen Cafe, kami disapa dengan salam oleh seorang pekerja restoran yang peramah. Kwan namanya. Dia cuba berbahasa Melayu loghat Kelantan dengan kami. Comel juga bunyinya.. hehe. Alhamdulillah semua makanan di hotel disediakan secara halal. Penyediaan makanan halal diasingkan daripada yang lain & cutleries untuk pelanggan Muslim juga akan ditukar khas.

Hubby memesan Tom Yam Goong dan dia memesan Seafood Fried Rice untuk saya. Oh, lazatnya tomyam asli di sana, memang lain daripada tomyam yang paling sedap saya makan di KL [Tomyam Johan Kg. Baru]. Nasi gorengnya pun sedap walaupun sebenarnya saya tak berselera untuk makan disebabkan kepenatan. Pekerja di restoran semuanya ramah belaka, pendek kata semua staf di resort ini memang peramah. Kalah staf² Sheraton di Malaysia. Hehe.

[Mangosteen Café]


[Tom Yam Goong + Seafood Fried Rice!]

Kami sempat bergambar di sekitar taman malam itu. Pokok² kelapa berderetan di sepanjang laluan pejalan kaki, dan setiap selang satunya di pasang spotlight untuk menerangi laluan. Tetapi oleh kerana kawasan yang terlalu luas dan dipenuhi pokok², suasana agak gelap & sunyi. Pada satu ketika, semasa saya menanti hubby membuat set up pada kamera, saya sempat berseloroh pada hubby untuk mengambil gambar pelepah² kelapa yang kelihatan cantik bila dipantulkan oleh cahaya spotlight dari bawah.



Sedang saya berdiri untuk posing, saya terpandang ke atas pokok kelapa di hadapan saya, betul² bersebelahan hubby yang sedang standby untuk mengambil gambar. Saya terpandang sesuatu! Pada mulanya saya kurang pasti kerana suasana suram dan hanya pantulan cahaya di celah² pelepah yang membantu pandangan saya. Hubby menegur saya yang memandang ke atas, kerana saya perlu memandang ke arah lens untuk di snap. Saya sempat mengerling ke atas untuk kali kedua dan ketiga. Saya nampak sesuatu sedang bergerak dengan pergerakan yang perlahan, tapi aneh. Saya cuba memfokuskan pandangan saya, dan saya terpandang ke belakang batang pokok kelapa tersebut yang selari dengan bayang & pergerakan aneh tadi.

Kelihatan seperti kain satin lembut yang panjang berjurai dan ditiup angin. Saya pasti itu bukan monyet atau tupai. Saya yakin itu bukan pelepah kelapa yang kering. Pelepah kelapa kering tidak akan selembut itu bila ditiup angin. Bukan juga pelepah kelapa biasa kerana warnanya putih! Tiba² saya terasa meremang. Terkaku saya seketika. Oh tidak. Saya tak suka untuk tahu dengan lebih lanjut. Cepat² saya mengajak hubby tinggalkan lokasi itu. Hubby terpinga² & tertanya² kenapa. Saya hanya mengatakan tiada apa yang berlaku, tapi saya terus terdiam selepas itu sambil bergegas menarik lengan hubby untuk terus berjalan. Sebolehnya saya mahu segera masuk ke dalam hotel, kegelapan malam di luar sana tiba² menyeramkan.

Sepanjang laluan ke bilik, bacaan ayat Kursi tidak putus di bibir saya. Saya sebolehnya cuba mengelak untuk memandang ke taman & ke atas. Entah mengapa saya agak takut kali ini, sedangkan saya ini boleh juga dikategorikan sebagai berani [hehe, perasan ye]. Tak pelah. Mungkin cuma perasaan atau bayangan sahaja. Leganya saya tertidur awal malam itu. Allahua'alam. Bersambung..

20 Jun 2009

♥ Escapade II

7 ♥ comments
Dear blog,

Assalamualaikum..

Lama betul saya ambil masa untuk sambung catatan perjalanan ni.. gambar² yang perlu di resize kan terlebih dahulu (saiz asal adalah dlm RAW format; ± 21 MB.. fuh.. dan perlu dipilih dari 1000+ gambar yang ada.. masak jugakla nak mengconvertnya.. hehe) ditambah pula dengan workload yg bertimpa² memang menjadi halangan sebenarnya.. harap maaf bagi yang menanti.. alhamdulillah hari ini sempat untuk saya teruskan catatan ini.. selamat membaca ye.. [posting kali ini memang berjela & penuh gambar ye..]


19 Mei 2009


Jam 1.30 petang, bot kami sampai di jeti. Hanya kami dan 5 orang yang lain bersama menaiki bot. Kami berdua ke Pulau Gemia. Yang lain ke Pulau Perhentian. Bagaimanapun bot akan singgah ke Gemia terlebih dahulu. Perjalanan memakan masa lebih kurang 15 minit. Dari jauh kelihatan pulau kecil di tengah² lautan. Di sebelahnya, terdapat sebuah lagi pulau iaitu Pulau Kapas. Lebih kurang 500 meter dari jeti kecil, bot diperlahankan. Ini kerana kami telah memasuki kawasan peliharaan batu karang. Pertama kali saya menjenguk ke dasar laut, subhanallah! cantiknya! air agak cetek, jernih sememangnya, dan sungguh saya tak sabar untuk jejak ke pulau. Private island, yang sesuai dengan saya yang tak berapa gemarkan crowds.. (malu nak mandi-manda jika terlalu ramai, kan..). Sememangnya musim cuti sekolah bukan pilihan saya untuk bercuti.

[1. Ini lah pulau yang kami jejaki..]

Di jeti, kami disambut oleh pekerja resort yang peramah. Gemia Island Resort & Spa adalah satu²nya resort di private island ini. Di depan resort, kami juga disambut oleh 97 ekor anak penyu yang comel², yang baru berusia 2 hari.

[2. Sebahagian daripada 97 ekor baby turtle yang teramatla comel..]

[3. Salah seekor baby yang terlepas.. hehe]

Geram rasanya untuk saya pegang, tetapi kami perlu uruskan penginapan kami terlebih dahulu. Oleh kerana resort ini menggunakan generator untuk bekalan elektrik, maka pada setiap jam 3 sehingga 5 petang, bekalan elektrik akan diputuskan sementara waktu. Pada waktu ini kami disarankan untuk melakukan aktiviti di pantai (mandi laut, snorkeling, berkayak dan sebagainya).

[4. Pandangan tepi resort daripada bilik kami..]

Kami menginap di bilik yang berdepan dengan laut, di mana balkoninya mengadap ke laut. Di setiap unit bilik disediakan 1 buaian rotan yang digantung di balkoni, bagus juga idea ini Senang untuk bersantai sambil menikmati pemandangan. Cuaca agak panas, ye lah, apa lah yang kita jangkakan kalau berada di tengah² pulau, kan.

[5. Buai rotan yang santai..]

Pukul 2 kami sampai ke bilik, bermakna ada lagi 1 jam untuk kami bersiap sebelum keluar menikmati udara di luar. Selesai solat, berkemas & bersiap, kami dengan rasa teruja membawa segala peralatan untuk mandi & bergambar. Di private island ini terdapat 40 unit bilik yang kesemuanya dibina di gigi air, untuk ke bilik kami perlu melalui 1 tapak penetasan telur penyu.. Terdapat 6 lubang telur penyu yang menunggu hari untuk menetas..

[6. Turtle Conservation Project.. ]

[7. Sukanya dapat 'dukung' baby! ]

Selesai ber'gurau senda' bersama anak² penyu yang comel, kami terus ke agenda utama: mandi laut! Sepanjang petang kami di pantai, mandi, snorkeling, berendam, berenang sepuas²nya.. seronoknya! Dah lama saya tak ke pantai, kali terakhir ialah 2 tahun yang lepas.. oh dan semestinya saya pastikan sunblock spf 130+ bersama!

[8. Pemandangan dari pantai.. nun di sana ialah Pulau Kapas..]

Kami habiskan masa kami sepanjang petang di pantai. Saya sempat melakukan snorkeling, dan dengan underwater camera saya menyelam sambil menikmati keindahan dasar laut. Subhanallah. Cantik amat. Gerun pun ada, bila terserempak dengan batu karang yang agak besar. Takut terpijak. Air yang sangat jernih membuatkan karangan boleh dilihat terus dari atas permukaan air. Maha suci Allah yang menciptakan. Malangnya keindahan di bawah tersebut tidak dapat saya kongsikan di sini, kerana kamera underwater hanya menggunakan filem dedahan biasa (bukan digital).

[9. Aktiviti mengintai ke dalam laut.. ]

Menjelang senja, kami segera ke daratan. Menjelajah ke pantai di bahagian belakang pulau, kerana kedudukan sunset yang strategik dari situ. Dengan segala kelengkapan, kami bersedia. Awan yang agak banyak menyukarkan kami untuk mencuri sunset pada petang itu. Apa pun, percubaan kami agak berhasil. Cantik kan sunset?

[10. Senja dan mentari terbenam di ufuk timur.. ]

Sebelah malam, kami benar² kepenatan sehinggakan terus tertidur selepas Isya'. Terjaga di awal pagi, pukul 3. Subhanallah, terpana kami dengan keindahan sang bulan di tengah malam pekat. Indahnya. Indahnya ya Allah. Cahaya bulan yang berbayang di permukaan lautan betul² menghala ke bilik kami. Seronoknya.

[11. Sinaran bulan yang indah.. dan perhatikan cahaya bintang² yang bertebaran di sekelilingnya..]


20 Mei 2009


Selepas terjaga awal pagi jam 3, kami terus berjaga untuk menanti Subuh dan matahari terbit. Agenda rutin jurugambar. Heh. Pergerakan sunrise agak cepat. Kami perlu pantas (tetapi tempoh pergerakan matahari untuk sunset lebih cepat berbanding sunrise). Saya kongsikan sekuel magical ligt yang berjaya kami curi pagi itu ye! =)

[12. Magical light 1.. ]

[13. Magical light 2.. ]

[14. Magical light 3.. ]

[15. Magical light 4.. ]

[16. Magical light 5.. ]

Selesai sunrise, kami bersiap untuk sarapan. Kami sarapan sambil berbual dengan manager resort yang peramah. Dia mencadangkan kami ke kawasan berbatu di tepi pantai, di situ ada teluk yang cantik & gua akibat hakisan angin & air laut.. sementara air belum pasang, atau kami boleh terperangkap bila high tide semula. Kami terus ke sana. Berbekalkan Crocs, saya meredah kawasan berbatu yang agak licin, mujur Crocs tak mengecewakan. Hehe. Subhanallah. Itulah kata² yang sering terkeluar di bibir saya sepanjang di pulau ini. Ciptaan Allah, benar² indah.

[17. Gua kecil.. memang tak muat untuk saya.. hehe ]

[18. Hasil hakisan air masin + angin.. subhanallah.. ]

[19. Gua yang tersembunyi.. ]

[20. Tapi saya dah jumpa! ]

[21. Pengembaraan bersama crocs.. hehe ]

Laluan gua / slope yang terbentuk akibat hakisan ini menyambungkan lautan di sebelah belakang pulau, terutamanya apabila air pasang. Di sebelah atas permukaan gua ada kelawar² yang menginap & sesekali terbang bila dikejutkan cahaya flash kami. Geram saya nak berendam di situ, teringin nak ke seberang ke sebelah sana. Malangnya saya tak membawa kelengkapan untuk mandi. Rendam kaki bolehlah. Lama juga kami di situ. Tapi sebelum high tide kembali, kami perlu segera ke tepi pantai. Menjelang tengah hari, kami pulang ke bilik, bersiap untuk lunch. Selesai lunch, kami bersedia untuk aktiviti mandi laut, seperti yang ditunggu. Kali ini kami mandi di pantai belakang pulau, di mana lebih sunyi dan tenang. Pemandangannya tak kurang cantik. Dan semestinya kami tak melepaskan peluang bergambar.

[22. Di pantai belakang pulau.. agak terpencil.. ]

Di tepi pantai ini juga ada laluan gua / steep slope yang menembusi ke pantai di belakang pulau. Sekali lagi saya rasa teruja. Walaupun untuk ke gua tersebut saya perlu mendaki, itu bukanlah halangan. Dengan swimwear & peralatan kamera, saya mendaki laluan berbatu. Mujur selamat sampai. Alhamdulillah. Dan Subhanallah.

[23. Pemandangan dari atas..saya suka bentuk love yang terhasil.. ]

[24. Lagi steep slope yang perlu didaki.. ]

[25. Bersama mendaki hingga ke atas.. ]

[26. Inilah tempat yang dituju.. akhirnya.. ]

Sekali lagi saya geram untuk menjelajah dan tembus ke seberang pantai di sebelah sana. Tapi oleh kerana hujan rintik² turun, kami segera berkemas untuk turun semula ke bawah. Pulang ke bilik untuk solat dan berehat seketika sementara menantikan malam terakhir kami di pulau. Sementara menantikan maghrib, saya memberi makan pada ikan² yang selalunya berenang² manja di depan balkoni bilik kami (kami diingatkan seawal sampai di resort tempoh hari, jika bernasib baik, baby shark akan datang bermain² di depan balkoni kami).. seronok bila melihat ikan² berebutkan roti yang saya taburkan.. (ikan memang makhluk yang optimis..ikan akan makan tanpa henti selagi kita berikan..)

[27. Anak² ikan saya yang comel sedang berebut.. ]


21 Mei 2009

Hari terakhir kami di Gemia. Awal pagi kami keluar dari bilik untuk sarapan. Saya habiskan masa dengan memberi ikan makan di tepi pantai selepas sarapan. Sungguh, ikan di sini jinak & comel belaka. Puas bila melihat mereka berebut dan makan.

[28. Ikan² comel di gigi air! ]

Selesai sarapan, kami bergegas ke bilik. Masih ada masa untuk kami turun ke pantai. Kami harus check-out pada jam 3 petang, mengikut jadual bot yang akan singgah ke pulau ini. Kami terus ke pantai, hubby seperti biasa tak tinggal dengan aktiviti snorkeling & floatingnya. Puas berendam di dalam air sambil ditemani anak² ikan yang comel mengelilingi saya, saya naik ke darat dan mengambil angin. Terjumpa sang ketam batu sedang bersantaian atas batu. Comel.


[29. Encik Crab sedang sunbathing.. ]

[30. Sampai juga si hijau ini ke Gemia.. hehe]

Menjelang zohor, kami pulang ke bilik. Berkemas. Jam 3.30 bot kami akan tiba. Kami check-out & berterima kasih kepada semua staf & manager resort yang peramah itu. Percutian kami di pulau ini memang seronok dan indah. Pengalaman dan pemandangan yang menarik yang berjaya kami peroleh memang menakjubkan. Alhamdulillah.

[31. Dari tepi halaman resort.. ]

[32. Bersama Wanie yang baik hati! ]

Tinggal dulu pantai nan indah. Tinggal dulu pasir bak sutera. Tinggal dulu penyu². Tinggal dulu ikan². Tinggal dulu Gemia. InsyaAllah kami akan kembali lagi.

*saya memang mengesyorkan pulau ini bagi sesiapa yang cintakan ketenangan dan kedamaian..


[33. Selamat tinggal Gemia.. ]

[34. Perlahan² kami meninggalkan pulau.. ]

Perjalanan pulang kami lebih kurang 15 minit dengan bot diiringi oleh Wanie, pekerja resort. Kami berterima kasih di atas layanan yang superb sepanjang kami di resortnya. Hinggakan kami sampai di jeti Marang, dia masih melayan kami dengan menolong saya membawa beg² hingga ke kereta. Bagusnya. Kami tidak terus pulang ke KL. Kepenatan di pulau, maka kami bermalam di Kuala Terengganu. Ya, sukarnya nak meninggalkan Terengganu, sebenarnya.


22 Mei 2009


Hari terakhir di Terengganu. Jadi sempat saya membeli-belah dahulu (keropok & batik semestinya!) sebelum pulang. Singgah di Pasar Payang. Seronok memang seronok. Hehe.

[35. Saya rambang mata.. seriously.. ]

[36. Ole² Terengganu.. ]

Kami pulang dengan kereta yang sarat dengan keropok diborong dan buah tangan buat keluarga. Dalam perjalanan, kami singgah di Pantai Kemasik dan Cherating. Belum puas dengan pantai dan alam..

[37. Pantai Kemasik ~ perkampungan nelayan.. ]

Hampir petang baru kami benar² berada di lebuhraya. Alhamdulillah, sekitar jam 10 malam kami sampai di KL. Percutian kali ini benar² bermakna buat kami. Bercuti setelah lama kami bekerja & mengetepikan cuti kami. Dan percutian yang sangat menyeronokkan dan mengujakan bila bersama dengan gadget kesayangan kami. Escapade kami ke Terengganu meninggalkan memori indah & kesan yang dalam buat saya.


[38. Saya dan beg tripod.. hehe]

Nantikan percutian yang seterusnya selepas ini.. insyaAllah.. Terima kasih buat kawan² yang membaca & berkongsi kenangan manis saya ini.. =)



Related Posts with Thumbnails
 

note to self : breathe Design by Insight © 2009