Showing posts with label vacation. Show all posts
Showing posts with label vacation. Show all posts

9 Apr 2012

♥ I love vacation. I mean, who doesn't? ;)

1 ♥ comments
Sedikit catatan perjalanan & koleksi gambar yang sempat dirakamkan di sini :

I love vacation. I mean, who doesn't? ;)


Perth, Australia:
  • Perth, Part I - 09.02.2012
  • Perth, Part II - 10.02.2012
  • Perth, Part III - 11.02.2012
  • Perth, Part IV - 12.02.2012
  • Perth, Part V - 13.02.2012


Terengganu '11:
  • Gemia Island, Terengganu - 17.07.2011

Krabi, Thailand:


Terengganu 2009:

18 Mar 2012

Jalan² Down Under : Perth 1

7 ♥ comments
Catatan & gambar perjalanan baru² ini..
  
Khamis, 090212

Pukul 10.30 kami sudah di LCCT. Flight akan berlepas pada pukul 11.55 p.m. Ramainya yang akan ke Perth. Flight penuh & sesak dengan orang ramai yang majoritinya Chinese dan orang putih. Mujur kami berdua dapat duduk 1 row tanpa orang lain. Hehe. Boleh letak camera bagpack yang besar penuh 1 seat. Perjalanan hampir 6 jam memang menyesakkan & susah nak lelapkan mata bila flight penuh dan ada bayi depan kami tak henti² menangis kerana nak tumbuh gigi. Hihi. Serius, saya masih belum terasa teruja lagi sebenarnya. Entah kenapa, mungkin sibuk fikirkan pasal kerja semalam. Huhu ngeri. Lagi pun saya taknak terlalu teruja pun. Misi utama yang perlu dicapai : pergi konvokesyen Loqman, shoot gambar dia - sebab semua orang di rumah pun mesti ternanti² gambar konvo dia kan. Yang selebihnya, tak berapa penting sebenarnya.. hehe.


Jumaat, 100212

Seawal jam 5.40 a.m, matahari sudah mula terbit di langit Perth. Saya yang hampir terlelap mamai tercari² matahari di tingkap kapal. Nampak encik suami dah standby kamera di tangan, nak shoot first light katanya. Tak lama kemudian, kapal kami pun mendarat. Beratur panjang berjela bagai ular kena palu di kaunter kastam. Ditambah pula dengan rigmarole yang sangat ketat. Fuh bersemangat betul makcik² kastam membuka semua beg & kotak². Barang² yang tidak berlabel akan dirampas terus tanpa kompromi. Dan mungkin lepas tu dikendurikan oleh makcik² kastam tu juga kot..hihi. Syukur barang² kami berjaya melepasi pemeriksaan, cuma sedikit frust bila Milo yang encik suami bawa (konon nak minum milo macam biasa la) dan tuna mayonnaise tak berjaya kami bawa keluar. Tapi lega bila kek Red Velvet Cheese Brownies yang saya buat pagi sebelum bertolak tu untuk Loqman, lepas pula masa scanning. Termasuk juga sambal kentang bilis yang mama mertua saya buatkan untuk Loqman, juga lepas kerana saya letak label sendiri (reka² je) - harapnya tiada makcik kastam Perth Airport yang dapat baca (dan faham) tulisan saya ni ye..hehe.

 first light of Perth




Sangat lega bila berjaya membolos kan diri daripada pemeriksaan kastam yang panjang & lama. Keluar dari pintu kastam, tercari² budak tinggi kerempeng bertopi. Tak nampak pun. Keluar dari pintu ketibaan, tetiba ada suara menyapa & menepuk bahu encik suami. Haik! Bukan lagi si kerempeng tinggi melayang, dah nampak sasa (hoh!?) dan tough kononnya. Berkat rajin ke gym katanya. Haha. Seronok dia jumpa kami berdua. Macam melompat² anak kecil pun ada. Terus kami ke Starbuck untuk minum kopi. Kedai minum lain tak nampak pula.  Saya macam biasa, skeptikal dulu. "Eh boleh ke makan minum kat sini?". Loqman kata minum kopi boleh la. Makan sandwich /  menu lain memang tak payah laa. Kalau nak cookies pun boleh tapi kena tanya dulu bahan² yang digunakan. Saya lagi rela minum kopi atau jus atau air mineral je, tak makan pun takpe. Dalam flight, sebelum nak mendarat tu kami dah breakfast Nasi Lemak Pak Nasir (tak pernah dengar pun nama Pak Nasir ni bila teringatkan semua jenis nasi lemak popular di Kg. Baru.. hihi). Hentam sajalah, alas perut, takut kelaparan nasi di Perth konon.

 nasi lemak rendang, breakfast dalam flight

Selesai minum kopi, kami ke kaunter kereta sewa yang memang ada dalam Airport. Sambil tunggu kunci, encik suami pergi beli simcard & prepaid di kaunter Vodafone, AUD30 untuk tempoh sebulan, saya layan mengantuk di kerusi. Penuh Chinese sahaja di sekitarnya. Memang Chinese sangat suka tinggal di Australia. Dan yang ramai pun kebanyakannya student, nak hadiri konvo seperti kami juga la tu kot.

 
 gambar sambil tunggu kunci kereta & simcard.. hehe

Akhirnya dapat kunci kereta, Ford Falcon, 4.0 cc!.. Best, sebab besar, saya boleh baring sesuka hati di seat belakang. Loqman yang drive dulu, memandangkan encik suami penat & mengantuk tak cukup tidur dalam flight.

Destinasi pertama ialah di Cottesloe Beach. Saja jalan² dalam Perth. Tapi sepanjang perjalanan tu pun saya tidur dengan lenanya, hehe. Bila sampai ke destinasi, baru saya terjaga. Cuaca agak terik tapi berangin. Kami berhenti dan buka bekal yang Loqman bawak untuk makan². Sekali tengok, masyaAllah. Banyaknya makanan dia masak! Spaghetti Fusilli Bolognaise sebekas besar untuk makan 8 orang rasanya, sandwich telur & salami 3 tupperware, vanilla slice seorang 2 potong besar, air jus buah²an 2-3 botol. Sandwich yang Loqman buat punyalah tebal, ya Rabbi. Makan separuh pun dah kenyang terus. Kami bersila atas padang rumput karpet tepi jalan. Seberang jalan ialah pantai yang putih bersih pasirnya, biru muda air lautnya. Ramai juga warga Perth yang mandi-manda, walaupun jam menunjukkan pukul 12 tengahari! Menurut Loqman, walaupun panas terik, air laut di sana sangat sejuk, jadi antara sebab ramai yang mandi laut ialah untuk sejukkan badan sambil sunbathing. Padang rumput, laluan pejalan kaki dan jalanraya sangatlah bersih, sampah langsung tidak kelihatan.

pesbuk la tu..hihi




Playground untuk kanak² sahaja..

Kami duduk rehat² sambil menikmati terik matahari tapi nyaman ditiup angin Lautan Hindi yang sejuk. Sambil makan bekalan yang Loqman buat. Kami tak termakan pun spagetthi yang dia buat tu, sebab kenyang sangat pulak. Jadi tapau bawa balik hotel. Pukul 12.30 tengahari kami bergerak ke hotel sebab nak solat Jumaat dan rehat dulu, terlalu mengantuk sebelum boleh sambung berjalan² lagi..

 Vanilla Slice dalam ni.. ada 2 potong besar.. Loqman beli sorang satu  pack.. yummm.. 5.98AUD = RM19.. huhu

 Sangatlah banyak Spaghetti Fusilli Bolognaise Loqman buat bagaikan nak buat jamuan untuk 10 orang!

 Suka beg ni.. jauh dia berjalan.. hehe

 Piknik bawah pokok..

 Ni rupa Spaghetti Fusilli Bolognaise yang Loqman masak.. sedappp, tak sangka.. hihi

Lepas maghrib, Loqman datang dengan kereta ambil kami untuk pergi jalan² dan makan. Kami pusing² town dan berhenti di tepi padang luas berdepan dengan bangunan² tinggi yang cantik. Encik suami dah keluarkan semua kelengkapan favourite dia, tripod, external speedlight, softbox etc etc.. Confirm sesi bergambar akan jadi lama.. hehe.



Lompat gumbira sebab esoknya nak konvo.. hehe



Bagi mereka yang berbakat terpendam..hihi silalah hubungi nombor di atas..

Lepas bergambar, perut pun lapar. Kesemua kedai di Perth tutup jam 5.00 pm.. Hanya supermarket seperti Woolworth & AGI (macam Carrefour atau Tesco) yang buka sehingga jam 8-9 pm. Kedai makan / restoran pun kebanyakannya tutup awal. Mujur Loqman bawa kami ke Makan² kat Victoria Park. Restoran ni memang jual kebanyakan makanan Malaysia & western yang halal. Oleh kerana kami agak lewat sampai, restoran ni dah hampir tutup dan hanya boleh terima take away order sahaja. Saya order nasi goreng kampung, encik suami order nasi goreng dan Loqman order Mihun Goreng. Loqman drop kami berdua di hotel & dia balik ke rumahnya. Sampai ke bilik, kami terus buka nasi goreng yang dibeli pack dalam container plastik besar. Portionnya ya Rabbi, banyak betul! Sebekas pun cukup untuk dua orang. Tapi memandangkan kalau simpan dlm fridge pun, esoknya dah tentu tak mampu nak telan, jadi kami pun bersungguh la makan nasi goreng AUD9 = RM27 sebekas tu. Berbaloi jugak kot dengan harganya. Rasanya sedap juga, tapi saya tak mampu nak habiskan semua. Spaghetti Kuman masakkan yang tersimpan dalam fridge tu pun belum sentuh lagi. Lepas makan, solat Isyak dan terus saya tertido kepenatan.


Rasa sama macam yang di Malaysia..


Bersambung ke entry seterusnya..
 

2 Sept 2009

♥ Cuti² Di Krabi II

16 ♥ comments
Dear blog,

Assalamualaikum..


Sambungan cerita perjalanan saya ke Krabi..

10 Ogos 2009

Hari kedua di sana, awal paginya selesai subuh, bergegas ke tepi pantai untuk hirup udara nyaman & nak merakamkan sinar pagi yg indah di tepi pantai.. pukul 8, pulang ke bilik, bersiap² untuk aktiviti seterusnya. Saya bersiap dengan swimming suit di dalam, t-shirt & tracksuit di luar. Dan tudung untuk swimming yang seperti pro diver bak kata hubby. Hehe. Segan juga. Okey. Abaikan. Pukul 10 pagi kami perlu ke lobi, menanti kenderaan untuk mengambil kami ke jeti. Kami akan mengikuti island tour dengan speed boat yang akan membawa kami melawat ke pulau² di sana.


krabi
[nak pegi kat sini la.. best kan.. ]

Jam 10.30, kenderaan yang akan membawa kami pun sampai. Saya tak pasti apa panggilan untuk kenderaan ini, samada teksi atau trak, dan di sana mereka memanggilnya 'tut-tut'.. hehe..


[ dalam tut-tut yang menggerunkan.. hehe.. ]

Kami berdua sahaja pada awalnya, perjalanan menjadi singkat bila pemandunya memandu secara 'gila' - mungkin risau kami akan tertinggal bot.. kami singgah ke sebuah hotel lain untuk mengambil penumpang.. 4 orang pakcik warga Timur Tengah yang bisu.. & seorang translator perempuan muda yang.. erk.. abaikan. Kami semua akan ke Ao Nang Beach untuk menaiki speed boat yg sedang menanti..

Sampai di sana, beratus² orang menanti bot masing².. di sana kami dikumpulkan bersama² dengan ahli kumpulan tour kami, 20 orang kesemuanya.. kami menaiki speed boat yg agak besar juga & saya mengambil tempat betul² di belakang seat pemandu.. perjalanan akan mengambil masa 1 jam untuk ke pulau pertama, iaitu Bamboo Island.. setelah diberi sedikit penerangan oleh tour guide - Mat, seorang Muslim yang hanya tau menyebut 'abe' dan 'akak' bila memandang kami, perjalanan pun dimulakan.. cuaca cerah pagi itu membuatkan saya lega juga. Bot membelah laju lautan, dan hentaman² ombak dan badai mula menyebabkan bot kami terhuyung-hayang. Oh ye, kami tidak memakai life jacket pun. Life jacket hanya disimpan untuk aktiviti snorkeling nanti. Itu agak membimbangkan saya. Hehe.

Setengah jam awal, saya sudah mula terasa terseksa. Dahsyat juga menaiki bot laju di tengah lautan ini. Kebetulan ombak pada hari itu cukup tinggi, 2 meter tingginya! Ramai ahli kumpulan yang menjerit². Segala barangan di dalam bot tercampak ke sana ke mari. Saya hanya tersenyum sahaja [saya pada kebanyakan masa..hehe]. Walaupun sebenarnya dalam hati risau juga. Untuk mengelakkan saya tercampak ke belakang [hampir tercampak dah pun sebenarnya], saya berpaut pada besi driver seat di hadapan saya. Mujur kami tidak memilih tempat di hadapan bot yang lebih tinggi. Ada beberapa penumpang yang tidak tahan berada di hadapan, bertukar tempat berdepan dengan kami. Percikan air laut yang menerjah masuk bak hujan renyai. Mujur saya berlindung di belakang seat pemandu. Sayalah yang paling terselamat daripada lencun. Hehe.

Saya mencuri pandang pada boat speedometer di depan saya. 300km/h. Laju juga. Terkadang saya rasa seolah² sedang terbang di lautan. Bot yang melawan ombak, terbang tinggi dan tiba².. jatuh terjunam semula ke air.. dan semestinya semuanya menjerit! Langit yang tiba² gelap, menambahkan kerisauan saya. Risau juga, hujan ribut di tengah lautan, tanpa life jacket, semuanya tiba² menghantui di fikiran. Tapi macam biasa, saya masih tersenyum. Saya senyum pada hubby, saya lihat dia pun risau juga agaknya, tapi dia memang sentiasa cool.. [saya yang selalunya over-react..hehe] Dalam hati saya berdoa moga kami semua selamat tiba ke destinasi.

Bot diperlahankan, menandakan kami hampir sampai ke Bamboo Island. Pukulan ombak juga makin berkurang. Alhamdulillah, cuaca kembali terang dan ceria. Kami sampai di pulau dan dibenarkan untuk berada di situ selama 50 minit untuk aktiviti swimming dan snorkeling. Pantai di pulau ini cantik, pasirnya bersih dan airnya menghijau. Tiada facilities lain di sini kecuali tandas awam memandangkan ia adalah pulau terpencil di tengah² lautan.




[Bamboo Island]


[di mata saya sentiasa ada dia..hee]

Cukup masa, kami bergegas ke bot. Perjalanan diteruskan. Kami sepatutnya dijadualkan untuk ke Maya Bay, di mana pulau dan pantainya adalah yang tercantik di situ, tetapi oleh kerana ombak ya ng besar dan air pasang yang agak tinggi pada hari itu, kami tidak digalakkan untuk ke sana. Rasa hampa juga, kerana di situlah tempat yang paling indah untuk dirakamkan mengikut tinjauan kami. Mungkin lain kali sahaja. Kami di bawa ke Phi Phi Don dan Phi Phi Lea, yang merupakan sebahagian daripada pulau yang terdapat di kawasan Phi Phi Island. Di sinilah letaknya lokasi filem The Beach - lakonan Leonardo DiCaprio.. [di situ letaknya juga puncak di mana DiCaprio terjun ke dalam air..] memang subhanallah, indah sungguh ciptaan Allah di situ..










[ breathtaking cliffs surrounding the bay like a fortress.. ]

Kami dibenarkan untuk snorkeling di sini, selama setengah jam.. airnya yg tersangatlah jernih & biru memang membuatkan saya geram nak berjalan di dasar, tapi tidak dibenarkan kerana terdapat banyak landak laut di bawah.. ke dalaman air adalah lebih kurang 4-5 meter.. saya dah jatuh hati dengan tempat ni.. susah nak digambarkan keindahannya dengan kata², Maha Suci Allah yang menciptakan.. pasti lepas ni saya nak singgah lagi ke sini, insyaAllah..

Selasai di sini, kami bergerak untuk ke Phi Phi Island Down Town.. dalam perjalanan keluar dari Phi Phi Lea, kami singgah sebentar di Viking Cave.. di sini letaknya gua tempat kaum purba yang menetap di situ suatu masa dahulu.. gua ini mendapat nama [Viking] daripada penemuan lukisan kapal Viking lama yang terukir di dindingnya.. tiada pantai di sekitarnya, gua tempat menginap terus bertemu dengan lautan.. kini gua ini dijadikan tempat pengutipan sarang burung layang² yang terkenal..




[ Viking Cave ]

Kami meneruskan perjalanan ke Phi Phi Island.. ombak tidak terlalu besar, maka perjalanan agak aman berbanding sebelumnya.. Phi Phi Island pada 3 tahun yang lalu pernah digemparkan dengan kemusnahan akibat tsunami, kini telah pulih sepenuhnya, saya rasa. Kami tiba dan terus ke restoran untuk makan tengahari. Masakan di sini sama seperti masakan di Malaysia, cuma nasinya lebih wangi, lauknya ala² Chinese food / vegetarian dan yang pasti tom yam goong nya memang power.. hehe. Mujur juga kami di dalam mode musafir, jadinya kami akan jamak taakhir bila sampai di hotel nanti.




[di sepanjang pantai di Phi Phi Island..]

Phi Phi Island ibarat sebuah pekan yang memanjang, di mana di kedua² belahnya adalah pantai.. kebanyakan penduduknya merupakan nelayan Muslim dan sebahagiannya juga menjalankan perniagaan untuk pelancongan.. terdapat banyak kedai² di sepanjang pulau, dan ramai pelancong² yang datang serta yang sememangnya terus menginap di hotel di situ. Bagaimana pun saya tidak sempat untuk menjelajah ke seluruh pulau memandangkan masa tidak mengizinkan..


[ gambaran Phi Phi Island dari atas.. credits to www.hotelthailand.com ]

Tepat jam 2.00, kami bersiap untuk menaiki bot. Kami meninggalkan Phi Phi Island, terus ke Phi Phi Lea semula untuk aktiviti snorkeling dan beramah mesra dengan monyet² pulau.. hehe. Kami dibenarkan untuk memberi makan kepada monyet² yang menanti kami di atas pokok di tepi tebing, tetapi dengan pengawasan beberapa orang tour guide. Seterusnya kami dibenarkan untuk snorkeling selama 40 minit di situ. Air yang jernih bak kristal memecahkan segala rahsia lautan..


[ pandangan dari atas bot.. jernih betul.. ]




[ ikan² yang optimis ]

Selesai aktiviti snorkeling, kami dijamu dengan buah²an segar - nenas dan tembikai yang manis² belaka di atas bot. Seterusnya, kami meneruskan perjalanan pulang ke Ao Nang Beach semula selama 1 jam.. maka berakhirlah aktiviti boat tour kami.. Perjalanan pulang kami tidak banyak bezanya dengan perjalanan pergi, bot kami melambung² dan terbang di lautan. Tapi kali ini saya rasa sudah 'terbiasa' dan tidak risau lagi. Mungkin kepenatan, barangkali. Akhirnya kami selamat sampai pada jam 4.00 petang.. alhamdulillah.. badan bagai dipukul rasanya, akibat hentakan kuat di dalam perjalanan. Ramai juga yang kuyup dalam perjalanan pulang.. Tetapi semua itu pengalaman. Pengalaman indah buat kami. Kami tiba di hotel hampir pukul 5.00 petang dan tiba masanya untuk berehat..

Bersambung.. lagi..






15 Aug 2009

♥ Cuti² di Krabi I

7 ♥ comments
Dear blog,

Assalamualaikum..

Setelah entah berapa ratus atau ribu kali saya berfikir, saya memutuskan untuk pergi. Cuti pun dah diambil 1 bulan yg lepas. Segala²nya dah dirancang 2 bulan awal, selepas kami pulang dari Gemia. Benar, sokongan dari kawan² turut menguatkan semangat saya untuk teruskan perjalanan ini. Walaupun di kalangan ahli keluarga ada yang tidak bersetuju, apa pun semua keputusan adalah di tangan hubby juga. Kami nekad untuk pergi juga, kerana segala kos [penginapan & perjalanan] telah dibayar & dengan tawakkal serta doa kami ke sana. Sebelum pergi, awal² lagi saya ingatkan diri, saya ke sana bukan untuk membeli-belah, dan seboleh²nya elakkan tempat yang sesak dgn orang ramai. Faktor² semasa membuatkan saya merasa tidak terlalu gembira untuk ke sana. Risau semestinya. Ancaman H1N1 dan juga berita kapal terbang dari Krabi yang kemalangan terlanggar menara kawalan semasa mendarat di Koh Samui Airport, yang menyebabkan juruterbangnya terkorban membuatkan saya agak risau. Apapun, alhamdulillah kami selamat sampai & selamat pulang & kini kami dalam keadaan berjaga² sebelum dapat pastikan yang kami benar² sihat.. insyaAllah..

9 Ogos 2009




Setelah subuh, kami bersiap² dan berkemas untuk bertolak. Selesai bersarapan, jam 10 pagi, baba & mama menghantar kami ke LCCT. Baba berpesan untuk sentiasa membaca ayatul Kursi sepanjang di sana. Penerbangan kami ke Krabi adalah pada pukul 12.50 tengah hari, jadi kami menunggu di Departure Hall lebih kurang 1 jam dan tepat jam 12.30 tgh hari kami dibenarkan on board. Alhamdulillah penerbangan berjalan dengan lancar dan tidak begitu ramai penumpang ke Krabi. Perjalanan mengambil masa 1 jam, kami tiba di Krabi Airport pada pukul 2.00 petang waktu Krabi [3.00 petang waktu Malaysia]. Dari airport kami ke Sheraton Krabi Beach Resort dengan menaiki teksi. Jauh juga jarak hotel dengan pekan Krabi, lebih kurang 30 km jarak perjalanan.

Sepanjang perjalanan, saya dapati tiada beza pun di antara kehidupan di Krabi dan kehidupan di Malaysia. Krabi boleh dikategorikan sebagai pekan, di mana kebanyakan tempat adalah kawasan kampung, hutan² dan ladang² getah. Kebanyakan kawasannya adalah berbukit. Tidak banyak bezanya dengan kita. Saya teringatkan pekan Kulim. Hampir sama. Rumah² kampung, pokok² bunga di laman cukup menjelaskan yang kita adalah serumpun. Saya sebenarnya tidak pernah mengetahui tentang pekan Krabi ini, tetapi melalui carian di internet, saya rasa yakin untuk ke sana. Menurut legenda, perkataan Krabi bermaksud 'pedang', dan difahamkan pedang turun-temurun tersebut masih disimpan di dalam salah sebuah gua yang dijaga dan dikawal oleh pihak pemerintah.

Legenda kedua pula mengatakan Krabi adalah berasal daripada nama pokok buah tempatan iaitu "Lumphi". Bagaimana pun peniaga² Melayu dan Cina yang datang berniaga telah tersilap menyebutnya [mispronunciation] menjadi "Ka-lu-bi" atau "Kho-lo-bi" yang akhirnya menjadi "Krabi". Terletak lebih kurang 814 km daripada Bandaraya Bangkok, Krabi sebenarnya adalah salah satu tempat tarikan pelancong yang terkenal di Selatan Thailand. Di sempadan sebelah barat Krabi adalah Laut Andaman, di sebelah sempadan utara adalah Daerah Surat Thani & Phang-nga, sempadan selatan adalah Daerah Trang & Laut Andaman manakala di sebelah utara adalah daerah Nakhon Si Thammarat & Trang. Separuh daripada penduduknya adalah Muslim, maka untuk mencari makanan yang halal di sini adalah agak mudah.


[gambar Krabi dari satelit]

Rata² penduduk di sini bekerja sebagai petani, dan kebanyakannya memiliki perniagaan khusus untuk pelancongan dan saya yakin, pekan ini hidup dengan adanya pelancongan. Kebergantungan kepada industri pelancongan yang tinggi membuatkan mereka begitu hormat dan amat mengalu²kan pelancong dari luar [their hospitality is awesome!].. Cuma masalah yang agak ketara di sana ialah halangan bahasa. Oleh kerana Thailand mempunyai huruf tersendiri untuk menulis [Thai font], ini menyukarkan kami kerana kebanyakan papan tanda ditulis di dalam bahasa rasmi Thai. Kebanyakan penduduk juga tidak boleh berbahasa Inggeris menyukarkan lagi komunikasi kami. Ada juga beberapa orang yang boleh bercakap di dalam Bahasa Malaysia, walaupun tidak lancar dan lemah. Apa pun, saya rasa saya mula menyukai Krabi kerana suasananya tidak jauh beza dengan Malaysia.

Lebih kurang pukul 3 petang kami tiba di hotel, kami disambut dengan mesra & ada di antara mereka yang teruja melihat kami adalah Muslim [sebenarnya apabila melihat saya yang bertudung]. Ucapan salam didahulukan dan mereka berbangga untuk menyatakan mereka juga Muslim. Kami disambut dengan air serai ais yang rasanya sedap juga & menyegarkan. Untuk ke bilik, kami perlu menaiki buggy dan kami dihantar oleh seorang pekerja di Concierge Service yang comel & mesra, bernama Ms. Tiyarap. Bilik kami mengadap ke laut, tetapi oleh kerana taman yang agak besar merentangi di antara bilik dan pantai, pemandangan adalah terhalang oleh pokok² pain dan kelapa yang ditanam di tepi² taman sepanjang pantai. Alhamdulillah bilik kami luas & selesa, dan yang saya suka ialah perkhidmatan housekeeping nya adalah 2 kali sehari. Bilik kami sentiasa dipastikan bersih & kemas, air mineral & ais sentiasa tersedia secukupnya. Kami berehat & menantikan Asar pada petang itu.

[jalan².... dan... sampai!]


[view dari balcony]


[bilik yg santai..]

Selesai Asar, kami bersiap untuk bersiar² di sekitar kawasan hotel yg luasnya 16 hektar tanah lanskap.. luas betul. Sepanjang 1.8 km hotel ini berada di pesisir Pantai Klong Muong. Terdapat 2 beach-front pools dan beberapa hammocks. Facilities di sini memang serba lengkap & kemudahan internet adalah percuma di lobi. Pokok bunga yang banyak di tanam di sekitar kawasan resort ini ialah white lily. Nasib baik bukan calla lily, kalau tak, memang habis dikerjakan oleh saya.. hehe. Terasa segar berada di dalam taman sambil mendengar alunan hempasan ombak. Angin petang itu cukup kuat, menderu² tanpa henti. Tiada siapa berani turun ke pantai untuk mandi-manda kerana bendera amaran berwarna merah telah dinaikkan. Bendera merah menandakan laut bergelora dan ombak besar serta berbahaya untuk sebarang aktiviti di dalam air. Kami hanya dibenarkan untuk mandi laut sekiranya bendera kuning dan hijau dipasang di tepi taman menuju ke pantai. Angin yang cukup kuat menyebabkan kami berhati² semasa menggunakan tripod untuk bergambar. Rasanya kekuatan angin di situ mampu menolak kamera + tripod seberat 2 kg lebih itu. Menakutkan.


[luasnya taman ni..]


[Klong Muang Beach berdepan hotel]


[salah 1 poolside]


[kat tgh² taman ni ade Mandara Spa..]

[sunset + trademark kami.. hehe]


[facebooking!]

Azan maghrib berkumandang, sebelum itu kedengaran bacaan ayat² suci Al-Quran dari masjid yang berdekatan. Maghrib di sana adalah pada pukul 6.30 petang. Hari mulai gelap, kami kemas segala peralatan menuju ke resort semula. Masa untuk kami makan malam. Singgah di Mangosteen Cafe, kami disapa dengan salam oleh seorang pekerja restoran yang peramah. Kwan namanya. Dia cuba berbahasa Melayu loghat Kelantan dengan kami. Comel juga bunyinya.. hehe. Alhamdulillah semua makanan di hotel disediakan secara halal. Penyediaan makanan halal diasingkan daripada yang lain & cutleries untuk pelanggan Muslim juga akan ditukar khas.

Hubby memesan Tom Yam Goong dan dia memesan Seafood Fried Rice untuk saya. Oh, lazatnya tomyam asli di sana, memang lain daripada tomyam yang paling sedap saya makan di KL [Tomyam Johan Kg. Baru]. Nasi gorengnya pun sedap walaupun sebenarnya saya tak berselera untuk makan disebabkan kepenatan. Pekerja di restoran semuanya ramah belaka, pendek kata semua staf di resort ini memang peramah. Kalah staf² Sheraton di Malaysia. Hehe.

[Mangosteen Café]


[Tom Yam Goong + Seafood Fried Rice!]

Kami sempat bergambar di sekitar taman malam itu. Pokok² kelapa berderetan di sepanjang laluan pejalan kaki, dan setiap selang satunya di pasang spotlight untuk menerangi laluan. Tetapi oleh kerana kawasan yang terlalu luas dan dipenuhi pokok², suasana agak gelap & sunyi. Pada satu ketika, semasa saya menanti hubby membuat set up pada kamera, saya sempat berseloroh pada hubby untuk mengambil gambar pelepah² kelapa yang kelihatan cantik bila dipantulkan oleh cahaya spotlight dari bawah.



Sedang saya berdiri untuk posing, saya terpandang ke atas pokok kelapa di hadapan saya, betul² bersebelahan hubby yang sedang standby untuk mengambil gambar. Saya terpandang sesuatu! Pada mulanya saya kurang pasti kerana suasana suram dan hanya pantulan cahaya di celah² pelepah yang membantu pandangan saya. Hubby menegur saya yang memandang ke atas, kerana saya perlu memandang ke arah lens untuk di snap. Saya sempat mengerling ke atas untuk kali kedua dan ketiga. Saya nampak sesuatu sedang bergerak dengan pergerakan yang perlahan, tapi aneh. Saya cuba memfokuskan pandangan saya, dan saya terpandang ke belakang batang pokok kelapa tersebut yang selari dengan bayang & pergerakan aneh tadi.

Kelihatan seperti kain satin lembut yang panjang berjurai dan ditiup angin. Saya pasti itu bukan monyet atau tupai. Saya yakin itu bukan pelepah kelapa yang kering. Pelepah kelapa kering tidak akan selembut itu bila ditiup angin. Bukan juga pelepah kelapa biasa kerana warnanya putih! Tiba² saya terasa meremang. Terkaku saya seketika. Oh tidak. Saya tak suka untuk tahu dengan lebih lanjut. Cepat² saya mengajak hubby tinggalkan lokasi itu. Hubby terpinga² & tertanya² kenapa. Saya hanya mengatakan tiada apa yang berlaku, tapi saya terus terdiam selepas itu sambil bergegas menarik lengan hubby untuk terus berjalan. Sebolehnya saya mahu segera masuk ke dalam hotel, kegelapan malam di luar sana tiba² menyeramkan.

Sepanjang laluan ke bilik, bacaan ayat Kursi tidak putus di bibir saya. Saya sebolehnya cuba mengelak untuk memandang ke taman & ke atas. Entah mengapa saya agak takut kali ini, sedangkan saya ini boleh juga dikategorikan sebagai berani [hehe, perasan ye]. Tak pelah. Mungkin cuma perasaan atau bayangan sahaja. Leganya saya tertidur awal malam itu. Allahua'alam. Bersambung..

Related Posts with Thumbnails
 

note to self : breathe Design by Insight © 2009